Tuesday, February 21, 2017

Rindu FLC tak?

Dari atas bukit, Batrisya menebarkan pandangan pada tanah yang luas di hadapannya. Ditutupi rumput separas lutut. Ada yang masih segar hijau. Ada yang sudah kering kekuningan. Dibasahi dengan lembayung mentari senja. Dan angin sepoi-sepoi bahasa. Bau rumput yang menyegarkan. Menenangkan.
Batrisya merapatkan lutut ke dada. Rasa selamat bila dia berbuat begitu. Kalau ikutkan hati di mahu sahaja berbaring. Dalam ‘fetal position’. Itu posisi yang dia paling suka. Macam masa sebelum dia lahir dulu. Semasa dia masih dalam rahim ibu. Ibu yang tidak sempat dia jumpa. Bertentang mata pun dia tidak tahu sempat atau tidak.
Rindu. Pada wajah yang dia hanya kenal melalui gambar- gambar simpanan daddy. Melalui cerita-cerita daddy. Melalui cinta daddy pada ibu yang tak pernah pudar dalam mata lelaki itu. 25 tahun. Cukup lama tempoh masa itu. Dia pun sudah mahu bertapak dalam dunia kerjaya. Masih lagi Batrisya terdengar daddy berkomunikasi dengan ibu bila daddy fikir anak-anak tiada di sekeliling. Masa kecil dahulu dia dan abang-abangnya akan ketawa-ketawa melihat daddy bercakap seorang diri. Anak kecil, apalah tahu. Tapi bila sudah meningkat remaja, sudah pandai menilai emosi, pandai melihat nilai kasih. Dan dia jadi kagum dengan cinta daddy.
Adakah lelaki yang berupaya mencintai sebegitu untuknya?
_________________________________________________________________________________
23 tahun.
Agak-agak sudah cukup matangkah untuk membuat keputusan membabitkan kehidupan? Setiap tahun yang dia capai, dia akan bersoal jawab dengan diri sendiri. Sejak 8 tahun lepas. Dan setiap kali, dia akan rasa umurnya ketika itu sudah cukup masak. Namun bila semakin usia meningkat, dan dia lihat semula keputusan-keputusan yang telah dia buat.
Senyum sinis.
Mentah lagi rupanya aku.
Meor menyelitkan tangan kanan ke bawah bantal. Mencari sesuatu. Secebis memori sebesar tapak tangan. Ingatan yang lama dahulu. Jumpa. Memori itu ditarik keluar. Sekeping gambar lama. Pasangan suami isteri, umur pertengahan 20-an. Senyum riang dengan bayi dalam dakapan si isteri.
Itu rutin Meor setiap malam. Dan seperti biasa, himpunan memori, ria dan tangis bercampur aduk bagai air yang terlepas dari empangan. Membanjiri seluruh kotak ingatannya. Dadanya terasa ketat.
Ada orang menasihatkan agar memori lama, biarlah disimpan sahaja. Lebih- lebih lagi yang membawa duka. Teruskan hidup dan bina memori baru.
Tapi Meor tak boleh buat begitu. Sekeping memori itulah yang membuat dia terus ada harapan untuk terus bergerak ke hadapan.Kerana jika dia simpan kemas secebis ingatan itu di sudut paling dalam supaya tidak terasa lagi sakitnya, maka dia akan hilang siapa dirinya. Dan mengapa dia masih di sini meneruskan kehidupan.
Meor senyum sendiri. Walau dadanya masih terasa sakit.

Mentah lagi rupanya aku.