Friday, April 10, 2015

The Unspoken I -8-

Megat Johari melangkah masuk ke dalam rumah besar bercat kuning susu dengan rasa berat hati. Sejak akhir-akhir ini dia merasa malas sekali hendak balik ke rumah. Kadang-kadang dia bermalam di hotel sahaja dengan alasan hendak menyudahkan kerja syarikat. Duduk di rumah pun hanya menambahkan sakit hati sahaja.

"Ayah balik dah..." Puteri Noreha menghadiahi Megat Johari sekuntum senyuman manis. Tangan Megat Johari yang masih terpinga-pinga diraih dan dikucup penuh hormat. "Ayah nak apa-apa? Eha buatkan...?"

"Apa Eha buat kat sini?" seakan-akan baru terjaga dari mimpi, Megat Johari terus sahaja menarik puteri sulungnya dalam dakapan. Terkejut betul dia dengan kepulangan anaknya itu. Ni bukan hujung minggu, dan kalau tak silap sekarang ini bukan waktu cuti Puteri Noreha.

"Ayah ni, macam tak suka je Eha balik," Puteri Noreha memuncungkan bibirnya. Dia dan adiknya Puteri NorAina memang manja dengan Megat Johari, sejak kecil lagi. 

"Bukanlah, ayah suka...tapi terkejut ayah tiba-tiba Eha ada kat rumah, sepatah pun tak cakap dengan ayah. Eha balik naik apa tadi?" Megat Johari meletakkan brief case di atas sofa. Ditarik tangan Puteri Noreha agar duduk di sisinya. 

"Kawan Eha hantar..." perlahan sahaja suara gadis berusia 20 tahun itu. 

"Kawan?" Megat Johari tersenyum nakal. Anaknya ini memang lemah sikit kalau bab-bab nak berdalih, lagi-lagi dengan dirinya. "Anak ayah dah besar ye?"

"Apa ayah ni...! Kan Eha kata kawan..." Puteri Noreha mengetap bibir. Wajahnya merona merah. Susah benar nak menyembunyikan sebarang perkara dari Megat Johari, pasti dapat dihidunya.

"Bila nak bawak jumpa ayah?"

"Hm? Apa ayah cakap?"

Megat Johari senyum lagi. Taktik nak mengelak jawab soalan lah tu. Tak apa lah, lain kali boleh tanya lagi. "Hm, Eha tak jawab soalan ayah lagi. Kenapa Eha tiba-tiba balik? Bukan time cuti Eha kan? Ke ayah tersilap?"

Puteri Noreha menggelengkan kepalanya. Mana mungkin ayahnya tersilap. Dia tahu setiap hari Megat Johari akan memeriksa planner untuk memastikan waktu cuti anak-anaknya. "Tak cuti, tapi kebetulan Eha tak ada kelas esok. Eha memang ingat nak stay back kat UKM je, tapi mummy called Eha suruh balik. Eha pun hairan. "

"Mummy suruh Eha balik?" hairan Megat Johari dengan apa yang didengarnya. Seingatnya isterinya itu tidak pernah kisah sama ada anak-anak perempuannya ada atau tidak. Disebabkan itu gadis-gadis itu lebih rapat dengan Megat Johari. "Mummy cakap apa lagi?"

"Entahlah yah. Eha tanya jugak, tapi mummy tak nak jawab..."

"Kalau Eha tak balik, boleh tak mummy?  Eha ingat nak study...."

"Mummy cakap balik, balik je lah. Selalu mummy tak suruh balik, you balik jugak. Bukannya selalu mummy mintak you balik. Susah sangat ke?" tajam kata-kata Puteri Kamariah memotong kata-kata anaknya. Puteri Noreha hilang kata-kata.

".....Okey. Eha jumpa mummy kat rumah malam ni...."

                    ***
"Apa awak cakap ni?" Megat Johari meninggikan suaranya. Bagai tidak percaya akan apa yang baru sahaja dia dengar dari mulut isterinya. Puteri Noreha kaku tidak bergerak. Terasa baru dijatuhkan hukuman maut.

Puteri Kamariah tidak mempedulikan pertanyaan suaminya. Matanya terarah pada Puteri Noreha. "Noreha, dengar kan apa yang mummy cakap?"

"Mummy..."mata Puteri Noreha mula berair. "Eha rayu pada mummy, jangan buat Eha macam ni...jangan buat..."

"Ikut cakap mummy. Ni untuk bahagia hidup you jugak."

"Berilah Eha peluang nak tentukan arah hidup Eha sendiri. Eha dah ikut setiap permintaan mummy. Eha nak ambil medic, mummy suruh tukar business management, Eha ikut...so please mummy... ni hidup Eha..." setitik air mata jatuh ke pipi anak gadis itu.

"Kenapa degil sangat ni? Bukannya susah sangat nak fulfill my request," pandangan diarahkan pada suaminya pula. "Megat, cakap dengan anak you ni sikit."

Terasa sakit hati Megat Johari bila Puteri Kamariah langsung tidak mempamirkan rasa hormat langsung ketika berbicara dengannya. "Yah, dia muda lagi. Tak puas hidup seronok lagi. Kenapa nak paksa-paksa dalam benda ni? Biar lah dia buat keputusan dia sendiri..." dia cuba berlembut.

"I'm not sentencing her to death! You akan hidup senang Noreha, kenapa nak tolak tuah?"

"Macam mana Eha nak kahwin dengan orang yang Eha tak kenal, yang Eha langsung tak suka?!" Puteri Noreha mula membentak. Hilang sifat keanak-anakan dan kepatuhan yang sering dia tonjolkan di hadapan Puteri Kamariah untuk meraih kasih sayang wanita itu. Tiada guna nya lagi dia berlembut dengan ibunya, hanya untuk dipergunakan demi kepentingan perniagaan wanita itu sahaja.

"Dah kahwin nanti kan boleh kenal? Dah, mummy tak mau dengar dah any of your nonsense. Esok mummy bawa you pergi jumpa Dato' Shahid dan keluarga dia. You better behave," Puteri Kamariah bangkit dari sofa. Dipandangnya Megat Johari sekilas. "You memang tak boleh diharap lah Megat. I buat ni untuk anak kita hidup senang jugak. Nanti kalau dibiarkan entah dengan siapa-siapa dia berkawan. Hidup susah."

Megat Johari diam sahaja, malas hendak membalas kata-kata isterinya. Tidak mahu mereka bertengkar di hadapan Puteri Noreha. Apabila Puteri Kamariah sudah menghilang ke tingkat atas, Megat Johari mendekati anaknya yang sudah teresak-esak menangis. 

"Ayah...ayah...tolong Eha ayah...Eha tak mau..."

"Ayah tau..." Megat Johari menggosok-gosok belakang anak gadisnya. "Eha..." sebak hatinya mendengar suara sayu Puteri Noreha. "Kalaulah ayah ada kuasa, memang ayah akan buat segala-galanya dalam kuasa ayah untuk halang benda ni..."

"Ayah... Razif tu...bukan orang baik, yah... dia pernah cuba nak pegang-pegang Eha dengan Aina dulu..." Puteri Noreha membuka cerita. Ketika itu mereka sekeluarga menghadiri majlis di sebuah hotel. Keluarga Dato' Shahid ada sekali. Itulah kali pertama dia bertemu Razif, anak tunggal Dato' Shahid. Ketika dia dan Puteri NorAina sedang berjalan-jalan di taman hotel, mereka menyaksikan anak muda itu tanpa segan silu meneguk beer bersama beberapa orang lagi. Dan belum sempat mereka berdua hendak berpatah balik, Razif terlebih dahulu menarik kedua-duanya dalam pelukan. Terasa hendak muntah dengan bau arak dari badan Razif. Mujur dia mendapat keberanian hendak menampar wajah Razif sekuat hati lalu menarik Puteri NorAina jauh dari situ sebelum Razif sempat hendak berbuat apa-apa lagi.

"Ayah tau, Eha..." Megat Johari mengetap bibir. Dia arif sekali dengan perangai anak tunggal rakan perniagaan isterinya itu. " Eha naik tidur dulu... ayah akan cuba fikirkan cara..."

0 comments: