Monday, March 30, 2015

The Unspoken I - 3 -



"Anjang ingat dah sesat ke mana dah bas tu bawak korang. Lambat sampainya. Si Hakim ni dah mengamuk-ngamuk dah. Mujur stesen bas ni tak diterbalikkannya," Nassier tersenyum, mempamirkan giginya yang putih dan tersusun rapi. Anna tertawa, matanya menghala ke arah anak muda di sisi Nassier, tiada langsung senyuman pada wajahnya. Pandangan Anna dibalas dengan renungan tajam.

"Berjanggut orang tunggu, tahu?!" ujarnya kasar. "Lain kali cakap la kalau lambat ke apa."

"Kau nak aku guna apa? Telepati? Belikan aku handset dulu baru berani marah la. Anjang pun tak marah tau. Lagipun bukan aku yang salah. Bas tu yang lambat sampai Putra. Lepas tu berhenti lama sangat pulak."
"Ni siapa pulak budak handsome ni?" Nassier mencelah. Kalau dibiarkan, mau aja budak berdua ni bertekak sampai ke tengahari. Johan tersentak sedikit. Dia memandang Adam.

"Kawan Adam, Johan. Saja Adam bawa dia sekali, tengok-tengok kampung kita. Terpaksa recruit Anjang jadi tour guide lah kali ni," Adam tersengih. Dia tidak mempedulikan Hakim dan adiknya yang masih melemparkan pandangan tidak puas hati antara satu sama lain walaupun telah dileraikan oleh Nassier secara tidak langsung.

"Boleh, boleh. Eh, jom lah, angkut beg masuk dalam kereta. Korang mesti penat kan?"

"Kenapa pulak Anjang nak kasi dia duduk depan?" Hakim membulatkan matanya. Nassier menarik nafas panjang. Hai la anak sedara aku seorang ni... Johan yang sedang memasukkan begnya ke dalam boot kereta Wira milik Nassier terhenti. Adam selamba sahaja masuk ke dalam kereta, manakala Anna berdiri di sisi Nassier dengan senyum sumbing.

"Dia seorang aje perempuan, Kim. takkan dia nak menyempit dengan dua orang lelaki kat belakang."

"Lelaki tu abang dia, Anjang."
"Anna, masuk tempat duduk depan cepat. Nanti guna telefon Anjang telefon Tuk kat rumah. Rasa-rasanya dah risau sangat dah orang tua tu," Nassier segera mengambil tempat di belakang stereng, makin lama melayan kerenah Hakim, makin lama pula mereka di stesen bas itu. Anna mengangguk lalu segera masuk ke tempat duduk penumpang. Hakim merengus, dengan kasar dia melangkah masuk ke dalam kereta di sisi Adam dan menutup pintu dengan kuat.
*
Hakim senyap sahaja bila dileteri ibunya. Anjang ni, tu pun nak mengadu. Bukannya tak biasa tengok dia dan Anna bertekak macam tu. Rutin seharian sejak berbelas-belas tahun dulu. Dari Anjang sekolah lagi. 

"Ingatkan dah besar-besar ni, boleh la berkawan macam orang biasa, sekali orang tengok sama macam dari zaman diorang berhingus lagi, Kak Ngah,"ewah-ewah, sedap betul pakciknya ini mengadu. Mana ada macam tu, masa zaman berhingus dia dan Anna akan terus bergasak di atas tanah dah, sebelum sempat orang lain nak menghalang. Ni kira ada kemajuanlah ni.

"Anjang, janganla exaggerate..." dia bersuara perlahan.

"Tengok tu, boleh balas balik orang tua cakap," Raziah menjegilkan mata ke arah anak bongsunya. "Awak tu dah besar Hakim, jangan lah nak bergaduh dengan anak dara orang sesuka hati."

Anak dara? Mana Anna tu boleh dipanggil anak dara. Tomboy tu mak! "Anak dara tu bergaduh dengan anak bujang orang, boleh la ye, mak?"

Raziah memandang Nassier yang kelihatan sedang menahan tawa mendengar perbualan dua beranak itu. "Apa yang kau nak gelakkan pulak, Jang? Budak ni naik kepala sebab kau manjakan dia sangatlah ni. Dok ikut aje apa yang dia nak."

"Kenapa Anjang pulak yang kena Kak Ngah? Eh, Kim, tak baik gelakkan bapak saudara tau. Dosa," dia mendesis pada Hakim yang sedang terkekek-kekek ketawa melihat pakciknya turut dimarahi. Raziah mendengus. Hilang akal aku dengan budak-budak berdua ni. Yang si Hakim ni boleh la diterima lagi, baru 16 tahun, ni si bapak sedara yang dah 27 tahun pun boleh ikut buat perangai jugak? 

"Mak, janganla dera kitorang macam ni. Penat tau tunggu budak-budak bandar tu sampai. Boleh main delayed pulak. Ngantuk Piwul pun tak hilang lagi. Kasila Piwul masuk sambung tidur balik ek?" Hakim cuba memujuk ibunya, sengaja dia menggunakan nama manjanya yang hanya digunakan di hadapan ahli keluarga sahaja. Hasil kepelatannya menyebut 'r' waktu kecil dahulu. Elok-elok keluarga memanggilnya Pirul daripada nama penuhnya Shafirul Hakim, diubahnya menjadi Piwul. Namun setelah masuk sekolah, terus sahaja dia membahasakan diri sebagai Hakim, gara-gara segan dengan teman-teman lain. Cukuplah dia diusik kerana tidak dapat menyebut 'r' dengan betul dalam percakapan hariannya, dia tidak mahu namanya juga menjadi bahan usikan. Kepelatannya 'terubat' ketika berusia 9 tahun ketika sedang bertikam lidah dengan Anna yang asyik menggelakkan sebutan 'wabbit'nya. Sepanjang hari dia asyik membesar diri dengan kejayaannya itu.

Hakim menguap. Sejak tadi dia ditahan di ruang tamu gara-gara mulut Nassier yang ringan mengadu tentang dia membuli Anna. Bersusah payah dia menahan mata dari tertutup kerana tidak mahu menambahkan kemarahan si ibu. 

Hati Raziah mula lembut dengan pujukan Hakim. Memang anak itu kelemahannya. Tak boleh nak kekal dalam keadaan marah jikalau berhadapan dengan Hakim. Namun keinginan untuk tersenyum ditahannya sedaya upaya. "Janji dengan mak jangan diusik Anna tu lebih-lebih."

Hakim sekadar mengangguk. Matanya betul-betul berat.

"Dahlah, pergi masuk bilik. Macam apa aje mak tengok muka kamu."

Dia berjalan longlai ke arah bilik tidurnya. Namun sebelum dia menutup pintu, sempat lagi dia berpaling ke arah Raziah dengan senyuman nakal. "Mak, Kim janji Kim tak kacau lebih-lebih. Kim kacau sikit-sikit aje." 
Cepat-cepat dia merapatkan pintu bilik sebelum sempat ibunya membalas.
***
"Kawan Anna tu tak biasa masuk kampung ke?" Nek Siah bertanya dengan suara yang perlahan ketika sedang menyiang ikan di dapur belakang. Anna mengangkat bahu. 

"Tu bukan kawan Anna, tuk. Tu kawan Adam. Anna tak kenal pun dengan dia."

"Tak ada lah, tuk tengok kawan tu tadi macam takut-takut aje nak jejak kaki kat atas rumah. Risau lantai papan ni runtuh agaknya," Nek Siah tersenyum lucu. Kelakar juga orang bandar ni. Mujurlah semua cucu-cucunya tahan lasak. Lantai papan itulah yang dibuat tapak mereka berkejar-kejaran sewaktu kecil dahulu. Bergegar seisi rumah dengan derap tapak kaki kecil mereka. "Suruhlah Adam beritahu kawan dia tu yang tak akan runtuh rumah ni, jalan macam biasa aje."

"Tengoklah nanti tuk..." Anna menjawab malas. Dia terasa kurang senang sebenarnya dengan kehadiran Johan bersama-sama dia dan Adam. Terasa kekok hendak bereaksi seperti biasa di hadapan orang asing. Dan sebab utamanya, dia mahukan Adam untuk dirinya sendiri, masih banyak perkara yang mahu dia ceritakan pada abangnya itu. Tapi nampaknya, dia terpaksa beralah lagi dengan Johan. I don't like him...

Mereka berlima menghadap juadah tengahari dengan penuh berselera. Johan pada awalnya kelihatan malu-malu hendak mencedok lauk, namun sebaik sahaja lidahnya menyentuh hasil tangan Nek Siah, mula lah dia makan bagai tidak cukup pinggan. Tersenyum lebar Nek Siah melihat ikan keli goreng berlada dan kangkung goreng belacannya licin dinikmati suami dan cucu-cucunya. Adam pula sedang enak mengunyah kacang botol yang terakhir. Kalau bab menghabiskan ulam, dia lah raja. 

"Anna tolong hantarkan lauk ni sikit pada cik Yah lepas solat nanti boleh? Si Nassier tu suka sangat tuk masak keli berlada ni. Tuk dah asingkan dah lauk tu atas meja," Nek Siah mencuit bahu Anna. Anna memuncungkan bibir.

"Tapi nanti mesti Anna terjumpa dengan si Hakim tu tuk. Hakim mana boleh tengok Anna senang-senang hati aje. Mesti ada aja benda yang dia nak buat gaduh dengan Anna nanti."

Nek Siah menggeleng sahaja. Tak habis-habis lagi budak-budak ni rupanya. Buat hal lagi lah ni dekat stesen tadi. Petang karang mesti si Yah datang bercerita. "Ajak Adam," pendek arahannya, tahu lah Anna yang kata-kata Nek Siah tidak boleh dibantah lagi.


0 comments: