Friday, December 11, 2009

6

Lena, tak payahlah susah-susah. Cik boleh buat tu," segera Cik Izah mencapai pisau daripada tangan Helena yang sedang asyik menyiang ikan. Helena mengerutkan dahi.

"Cik, ni kan kerja Lena jugak? Biarla Lena tolong Cik. Nanti Dato' dengan Datin nampak nanti karang, apa pulak diorang kata? Diorang ambik Lena kerja, Lena goyang kaki pulak," Helena membantah. Cik Izah mengisyaratkan Helena menjauhi sinki.

"Bila Cik nak Lena tolong, Cik panggil Lena nanti. Lena pergi masuk bilik dulu."

"Lena tolong potong sayur?"

"Bilik."

Dengan rasa tidak puas hati Helena melangkah ke bilik. Mahu saja dia menghentakkan kaki untuk menunjukkan perasaannya. Apa fungsi aku kat sini sebenarnya? Bukan kali pertama Cik buat aku macam tu. Sepanjang cuti sekolah ni dah berkali-kali dah. Macam ni baik aku duduk dengan Tuk Pah je kat kampung.

Dia memanjat katil sebaik sahaja tiba di bilik. Disandarkan tubuh ke dinding. Matanya ditutup.

Dah seminggu dah aku kat sini rupanya...Mujur jugak Dato' dengan Datin ambik aku hari tu elok je sebelum cuti sekolah, kalau tidak mau kelam kabut dibuatnya. Nak menyesuaikan diri dengan persekitarannya di rumah lagi, hendak memikirkan hal sekolah lagi. Sekolah? Helena melepaskan keluhan, berat.

Kenapa la nak masukkan aku ke sekolah yang sama dengan mamat tu? Dah tak ada sekolah lain dah kat sini? Terbayang wajah Zul yang tidak berperasaan pada malam Jazid memberitahu keputusan mereka. Rasa hendak ditumbuk-tumbuk sahaja pemuda itu. Aku tak ingin pun la nak masuk sekolah kau, mak bapak kau yang suruh!

Dan tanpa pengetahuan ahli rumah yang lain, Zul telah memberikan amaran kepadanya sebaik sahaja Jazid dan Adila naik ke bilik malam tersebut.

"Pastikan kau buat-buat tak kenal aku masa kat sekolah nanti. Jatuh imej aku."

Pergi neraka-lah kau. "Ok," Helena malas hendak bertekak walaupun hatinya bagai disayat-sayat. Tuk Pah, budak ni hina Lena, Tuk Pah, dia hina kita.

Tidak cukup dengan persetujuan Helena, pemuda itu menyambung lagi. "If you do anything that can drag me along, you are in BIG trouble. You-and-me,no-connection-at-all. Ever.Understand?" Budak kampung ni, entah faham entah tidak bahasa Inggeris. Lantak, masalah kau, bukan masalah aku. Kalau tak reti, memang habislah kau kat sekolah nanti. Di sana sini, hampir semua perbualan dilakukan dalam bahasa Inggeris.

Oh, bajet aku tak reti English lah ni? Helena membalas renungan tajam anak muda di hadapannya. "No worries, I won't. I wouldn't want to spoil my image by hanging out with you either," pedas jawapan gadis itu dalam bahasa Inggeris yang fasih. Dengan itu, dia meninggalkan Zul di ruang keluarga, dengan mulut yang ternganga luas, seolah-olah tidak dapat mempercayai apa yang didengarnya sebentar tadi. That kampung girl boleh faham...boleh cakap English...ada slang pulak tu...

Helena sendiri tidak tahu daripada mana dia mendapat keupayaan bertutur bahasa Inggeris dengan baik. Sejak sekolah rendah lagi, Helena mendapati dia mudah sekali menerima ajaran guru bahasa Inggerisnya. Juga, slanga yang digunakan ketika bertutur tidak sama dengan slanga biasa yang didengari apabila orang Melayu berbahasa Inggeris.

Pernah dia bertanya Tuk Pah tentang ibu bapanya, mana tahu, salah seorangnya ada yang berketurunan dari Barat. Namun Tuk Pah hanya ketawa sahaja.

"Lena ni, tengokla muka Lena pun macam orang Melayu kan? Tak adalah, dua-dua arwah mak ayah Lena orang sini je..."

Helena mengambil langkah berdiam diri sahaja ketika itu. Dia tidak pula memberitahu Tuk Pah tentang komen rakan-rakannya mengenai rambutnya yang sedikit perang walaupun tidak diwarnakan serta hidungnya yang sedikit mancung, kulitnya yang cerah dan juga kefasihannya berbahasa Inggeris. Dia tidak tahu kenapa, tapi pada kebanyakan masa, Tuk Pah tidak gemar berbicara tentang arwah kedua-dua ibu bapanya. Padahal hatinya meronta-ronta ingin tahu mengenai orang yang memberinya peluang wujud di dunia.

Bosan duduk bersahaja di dalam bilik, dia keluar semula. tekad ingin menolong Cik Izah di dapur. Biar telinganya dileteri, dia tidak peduli, asalkan tanggungjawabnya dapat dipenuhi.

"Ai, bersenang lenang dalam bilik nampak?"

Aduh...suara yang menyakitkan hati... Helena memutuskan untuk mengabaikan Zul yang sedang berdiri di tepi tangga dengan senyum sinis. Takpe, tak tercalar sikit pun kulit aku dengan sindiran dia tu.

Helena melintasi Zul tanpa suara, matanya juga langsung tidak memandang anak tuan rumah itu. Terus dia masuk ke ruang dapur di mana Cik Izah sedang memotong sayur. Wanita itu mendongak apabila menyedari kehadiran Helena. Wajahnya mula berubah menjadi kurang senang.

"Lena, Cik dah kata..."

"Lena tak peduli," Helena berdegil, ditambah dengan rasa sakit hati disindir oleh Zul tadi. "Dato' dengan Datin gajikan Lena kerja kat sini, bukan nak bersenang lenang kat bilik je..."

"Tapi Lena baru beberapa hari sampai...."

"Diorang ambik Lena minggu lepas, jadi kan sepatutnya Lena mula kerja dari minggu lepas jugak? Kalau diorang nak Lena kerja minggu ni, takde la diorang datang rumah Tuk Pah minggu lepas," Helena tahu dia mungkin kedengaran sedikit kasar, tapi dia tidak suka duduk bersahaja sedangkan dia seharusnya bekerja di situ.

"Betul kata dia, Cik...Cik pun janganla kasi muka sangat kat budak ni, naik lemak dia nanti, kalahkan tuan rumah pulak..." sampuk satu suara dari belakang Helena. Helena mengetap bibir. Ini dah lebih...

Namun belum sempat dia membalas, Cik Izah terlebih dahulu membuka mulut. "Zul, kalau setakat duduk sini nak menyakitkan hati je, baik Zul keluar dari dapur ni..." keras nada suaranya. Helena ternganga. Berani mati betul Cik Izah ni main lawan anak majikan sendiri.

Dia menoleh hendak melihat bagaimana reaksi Zul dilibas oleh kata-kata Cik Izah. Ahah...hampir ketawa juga ada melihatkan wajah anak muda itu, kaku sahaja. Hendak dilawan semula, Cik Izah jauh lebih tua daripadanya, malah lebih tua daripada ibunya sendiri. Buat seketika, Zul dan Cik Izah bertentang mata, masing-masing tidak mahu mengaku kalah.

"Awak tak dengar ke Cik kata apa tadi? Apa tunggu lagi?"

Laju sahaja Zul menoleh kembali ke arah Helena, matanya berapi. Penumbuknya dikepalkan, menahan geram. "You're gonna regret this, kampung girl..." katanya sebelum keluar.

"Bila dia dah buat perangai tu, memang tak tahan betul. Selalunya dia budak baik je,"Cik Izah mengomel sendirian. Helena mencapai pisau dan papan pemotong lalu duduk bertentangan dengan Cik Izah. Kali ini wanita itu tidak membantah, dibiarkan sahaja.

"Berani ye Cik lawan cakap dia?"

Cik Izah tersenyum. "Cik jaga tiga-tiga budak tu dari diorang kecik lagi. Sejak mereka bayi lagi..."

"Lamanya..."

"Cik asalnya kerja dengan keluarga Dato' Jazid, masa Dato' sekolah menengah lagi...lepas Dato' kahwin, Cik ikut sekali datang sini," Cik Izah memerhatikan Helena yang terngangguk-angguk, asyik dengan kerjanya, dengan teliti. Betul kata Datin...muka diorang berbeza, tapi kalau ikut perangai, memang serupa. Tak hairanlah rancangan Mek Pah supaya Lena membuat keputusan sendiri untuk datang ke sini sini menjadi. Sekarang ni pun...sekali lagi Cik Izah memandang Helena sebelum menyambung kerjanya...terasa seperti sedang berhadapan dengan 'dia'.

1 comments:

Jaz said...

alahai ...

who is 'dia' ...
curiosity killed the cat ... arggg