Friday, December 11, 2009

4

Helena tidak dapat melelapkan mata malam itu. Terkebil-kebil dia memandang siling bilik dalam kegelapan. Mungkin disebabkan persekitaran baru membuatkan dia begitu. Tapi dia tahu bukan itu yang menghalangnya daripada tidur.

Rindu.

Rindu pada Tuk Pah di kampung mengasak-asak dalam dadanya. Masa baru sampai petang tadi tidak terasa sangat, dia sibuk mengagumi rumah besar itu dan juga melayan celoteh Cik Izah yang tidak sudah-sudah.

Tiba-tiba teringat pada peristiwa ketika makan malam tadi. Pasangan suami isteri itu berkeras meminta Helena makan bersama di hadapan bersama-sama mereka, namun gadis itu tidak kalah degilnya. Dia menolak dan menolak sehingga Jazid dan Adila menyerah kalah.

"Kenapa kamu tak mau makan dengan Dato'?" Cik Izah bertanya ketika mereka menjamu selera bersama-sama di dapur. "Diorang dah ajak, makan je lah."

Helena memberhentikan suapannya. Kat sini pun kena soal-siasat jugak ke? Penat dah aku menjawab kat depan tadi. "Lena segan-la cik. Lagipun Lena baru lagi kat sini, tiba-tiba nak join tuan rumah makan kat meja besar, ishh... seganlah Lena."

"Apa-la nak disegankan, cik pun kadang-kadang makan jugak kat depan tu. Diorang dua baik, Lena. Cik tak pernah rasa cik ni orang luar kat sini. Diorang anggap cik macam ahli keluarga jugak."

"Nanti-nantilah cik..."

Ah...rindu nak makan masakan Tuk Pah... tanpa dapat dikawal, dia mula menangis teresak-esak. Tuk, lena rindu tuk...tuk bawaklah Lena balik. Lena tak nak duduk sini...Lama juga dia berkeadaan begitu. Setiap kali tangisannya reda, setiap kali juga ingatan pada Tuk Pah menerjah fikirannya, dan air matanya tumpah lagi.

Helena mencerunkan matanya, cuba mengenalpasti arah jarum jam dalam kegelapan. Baru pukul 5.30 pagi? Aku rasa macam dah tidur setengah hari je...bila nak cerah ni? Setelah penat menangis, barulah dia berjaya melelapkan mata. Itu pun tidak nyenyak. Terlalu banyak benda bermain di fikirannya.

Dia memutuskan untuk bangun sahaja. Tuala dicapai dan langkah diatur ke bilik mandi yang turut bersambung dengan bilik tidur Cik Izah. Tersenyum sendiri mengingatkan pengalaman pertamanya mandi di situ semalam. Orang bandar...bilik mandinya pun cantik, bisik hatinya sambil matanya menikmati kecantikan jubin dinding menghiasi bilik mandi itu. Ada air panas pula tu. Kalau di kampung, dia terpaksa bangun awal untuk mendidihkan air sekiranya hendak merasa mandi air panas. Di sini, petik je suis warna jingga di luar bilik air, bukak paip yang bertanda dengan warna merah, keluar-lah air panas. Ternganga juga mulutnya mendengar penjelasan Cik izah semalam.

Segar tubuhnya yang agak lesu akibat tidur yang tidak nyenyak malam tadi. Dikerling ke arah jam. 5.45 pagi. Dibentangnya sejadah yang elok tersangkut. Telekung disarung dan dia duduk berteleku di atas tikar sembahyang. Ya Allah....kuatkanlah hati hamba-Mu ini....dia merintih. Agak lama dia mengadu nasib pada Yang Esa. Teringat solat jemaah yang ditunaikan bersama-sama Tuk Pah setiap pagi. Dan suara merdu Tuk Pah mengalunkan ayat suci Al-Quran selepas solat, sementara dia pula menyediakan sarapan pagi. Kalau hari cuti, biasanya dia akan turut sama bertadarus bersama-sama Tuk Pah, ataupun berbaring sahaja di atas peha wanita tua itu. Tuk Pah pula, sambil membaca, tangannya akan mengusap-usap ubun gadis itu. Helena menyeka air mata yang jatuh. Sekali lagi dia mengerling ke arah jam.

Yakin waktu Subuh sudah masuk, dia berdiri, lantas mengangkat takbir.

Nak masak apa ya?

Diorang makan ke masakan kampung? Aku reti masak pun, setakat yang Tuk Pah ajar-la. Silap aku tak tanya Cik Izah semalam apa yang diorang biasa makan.

Helena menggaru-garu kepala. Sudah 5 minit dia tercongok di hadapan peti ais, berfikir. Selesai solat Subuh tadi, dia terfikir untuk menyediakan sarapan untuk keluarga itu. Alang-alang dah sampai sini, baik kerja betul-betul. First impression itu penting, dia berkata-kata sendiri. Walaupun mungkin hanya untuk seketika sahaja.

Lama berfikir, dia membuat keputusan untuk menggoreng nasi sahaja. Senang je nak masak, lagipun resipi nasi goreng yang Tuk Pah ajar, tak ada siapa yang boleh lawan, Helena tersenyum sendiri Dia membuka pintu peti ais yang besar di hadapannya dan mula mencari-cari bahan-bahan yang boleh dimasukkan ke dalam nasi goreng-nya nanti. Dikeluarkan kubis, cili merah, bebola ayam dan beberapa bahan lagi dan diletakkan di atas kaunter. Mujur jugak Cik Izah dah briefing sedikit sebanyak pasal kedudukan bahan-bahan makanan malam tadi, kalau tidak, jenuh juga dia mahu menyelongkar.

Helena melutut di sisi tong plastik yang digunakan untuk mengisi beras, periuk nasi di tangan. Untuk sedetik waktu, dia hampir pasti dia mendengar sesuatu dari belakangnya. Bunyi tapak kaki. Berdebar juga dadanya. Dipasang telinga sekali lagi untuk memastikan pendengarannya tidak silap. Hendak menoleh ke belakang dia tidak berani.

Sunyi.

Helena menarik nafas, cuba menghilangkan debaran. Dia berdehem kecil dan memusatkan kembali fikirannya ke arah tong beras di hadapan. Hmm..nak masak untuk berapa orang ni? Kalau ikut kata Cik Izah, Dato' dengan Datin ada 3 anak, tatapi dua daripada mereka tidak tinggal di rumah. Anak perempuan sulung mereka sedang menuntut di Australia manakala anak bongsu mereka bersekolah asrama. Jadi...kena masak untuk 5 orang lah kan...Helena mula mencedok beras ke dalam periuk. Fikirannya tiba-tiba terarah pula pada anak Jazid dan Adila yang masih tinggal di rumah besar itu. Kenapa semalam tak nampak dia pun ye?

Hmm... empat pot cukup kot, Helena berdiri kembali selepas menutup kembali tong beras. Dia memusingkan badan, hendak ke sinki untuk membasuh beras.

"Hahh!!!" terlepas satu jeritan dari mulutnya, memecahkan kesunyian pagi.

Periuk nasi terlepas dari tangan, jatuh berdenting ke lantai.

0 comments: