Saturday, December 12, 2009

22

Helena terasa janggal melangkah masuk ke kelas 4 Intan. Bukannya dia tidak biasa bertandang ke kelas itu, namun sejak Hayati menyampaikan khabar yang dia punya SA di kelas itu, dia mula terasa lain. Berkali-kali dia mengingatkan diri supaya tidak terbuai dengan perkara yang tidak pasti. Entah-entah Hayati sekadar bergurau. Mana tau, kan? Tapi gurau tak gurau, rasa janggal tetap ada.

"Ei Lena, buat apa tercegat kat pintu tu? Kacau orang lalu lalang aje lah!" suara Freddy yang duduk di hujung kelas bergema. Dibalas dengan jelingan tajam Helena. Kalau tak mengusik setiap kali aku masuk dalam kelas ni memang tak sah. Suka hati aku lah nak duduk mana-mana pun.

"Yep, Lena, ada apa?" Hayati tersenyum simpul sebaik sahaja Helena menghampiri mejanya. Helena meletakkan buku tulis amali yang dipinjamnya ke atas meja Hayati tanpa kata. "Oh, kan boleh pass kat aku kat Aspuri aje?"

Helena tercengang. Apa kes Yati ni? Bukannya tak biasa aku buat kerja-kerja macam ni. Ni tak lain tak bukan nak indicate yang aku memang sengaja datang tayang diri kat SA yang entah wujud entah tidak lah ni. "Aku cari kau tadi, kau tak ada kat dorm," dia membalas, ringkas. "Dahlah, aku balik kelas dulu..." Tak tahan dia dengan senyuman meleret Hayati. Tambahan pula dia seolah-olah mendengar bisikan-bisikan dari satu sudut kelas itu. Lena, jangan cepat perasan ye? Pantas dia mengingatkan diri.

*************

Daniel menyusun kertas-kertas yang berterabur di atas study carolnya. Selesai dua laporan praktikal bagi subjek Biologi dan Kimia. Lega. Kalau ditangguh-tangguh memang tak terbuat sampai ke sudah. Lepas tu cuak bila cikgu mintak suruh hantar. Dia tidak suka begitu.

Anak muda itu meregangkan kaki dan tangannya, letih berteleku di meja buat masa yang lama. Matanya pun sudah merasa berat. Dikerling ke arah jam loceng di tepi bantal. Baru sepuluh suku malam. Roomatenya tiada di bilik, menghadiri latihan taekwondo di dewan.

Matanya singgah pada sehelai kertas kecil berwarna merah jambu yang terselit di celah helaian buku rujukan Biologi, lalu satu keluhan terlepas dari mulutnya. Dia mencapai nota kecil tersebut. Sudah beberapa hari kertas itu terbiar tanpa perhatiannya. Azlan, teman sebiliknya sudah puas mengusik tentang kehadiran nota itu. Nota perkenalan daripada seorang secret admirer--gelaran Azlan pada gadis yang tidak dikenali itu. Isi nota itu ringkas sahaja.

Assalamualaikum Daniel,

Saya sudah lama ingin berkenalan dengan awak,tapi baru sekarang saya mendapat keberanian untuk meluahkan hasrat saya.

Saya harap awak tidak keberatan untuk menerima salam perkenalan saya. Kalau awak sudi, letakkan balasan awak di tempat awak jumpa nota saya ini...

Tiada tandatangan, tiada apa-apa. Itu sahaja. Kalau ikutkan hatinya, dia mahu membiarkan sahaja nota itu tanpa balasan.

Telefon bimbitnya berbunyi. Dengan malas Daniel menghulur tangan mencapai handphone-nya. SMS dari Zul.

'A'kum, kau balik minggu ni? Adif ajak pergi jamming.'

Daniel mengetap bibir, kepalanya ligat berfikir. Nak balik ke tidak ye? Setakat nak jamming, boleh aje aku ikut budak-budak kat sini. Lagipun, nak revise untuk Math test minggu depan pulak... Jari jemarinya rancak menaip balasan.

'Nope. Ada testlah next week. Lain kali lah. Bila ada cuti panjang sikit kita pergi berkampung, jamming ramai-ramai.'

Send.

Dua, tiga minit kemudian, telefonnya berbunyi lagi. Dibaca sekilas SMS Zul, riak wajahnya bagai tidak mempercayai apa yang disampaikan oleh rakannya itu. Sekali lagi matanya meneliti setiap bait ayat untuk memastikan di tidak tersalah baca.

'Oh, well, actlly tu alsn je. Parents aku outstation tis wk, so derg AMANAHkn aku pg jenguk si Lena kat skool dia.aku tolak lima nam blas kali pun x jln jgk.mak aku paksa smpai aku stuju.tp aku tamaula g sorg.buleh dak ko jd escort aku weekend ni ke ks'gor?kalu x,mmg tpaksa aku angkut Cik.'

Tak berkelip matanya merenung skrin telefon. Zul ajak aku pergi jumpa Lena? Terbayang wajah gadis berkulit cerah yang selalu tersenyum itu. Macam tak percaya juga pada mulanya bila melihat Helena sudah boleh bergurau senda dengan Zul sejak beberapa bulan yang lalu. Terdetik rasa kurang senang melihat keakraban mereka berdua, lebih-lebih lagi mereka berdua kelihatan begitu serasi bersama. Memang tak pernahlah dia melihat Zul begitu kamceng dengan perempuan selain daripada kakak sulungnya, Sarah. Itupun mungkin kerana Sarah tak seperti gadis-gadis di sekolah mereka. Asal Zul lalu di hadapan kelas junior saja, suara riuh pelajar-pelajar perempuan yang asyik berbual terus hilang,, mata-mata mereka pula tidak putus mengekori langkah anak muda itu sehinggalah dia hilang dari pandangan.

Daniel mengetap bibir. Math test ke....balik....Math test ke...Lena?

'Okay Zul, aku tmnkn kau.'

Send.

0 comments: