Friday, December 11, 2009

2

Helena tidak mempedulikan Tuk Pah yang sedang bercakap-cakap dengan 'bakal majikan'nya di ruang hadapan. Diheretnya dua buah beg pakaian yang sederhana besar ke pintu hadapan lalu dia berdiri tegak di situ, pandangan dilemparkan ke arah halaman rumah. Tuk Pah nak sangat aku pergi kan? Ni aku dah siap awal-awal lagi, hatinya berkata-kata sendiri.Dia sedar akan tiga pasang mata yang memandangnya ketika dia berjalan ke pintu, namun dia tidak peduli. Peduli apa, lepas ni, biar Tuk Pah tahu pentingnya aku dalam hidup dia. Biar Tuk Pah rindukan aku.

Apa yang Helena tidak nampak ialah senyuman penuh makna yang bermain di bibir ketiga-tiga yang berada di ruang tamu ketika itu. Jazid menggeleng-gelengkan kepalanya, nyata dia sedang menahan tawa. "Mek," katanya dengan suara yang perlahan. "Hipotesis kita berjaya-lah. Zid pun tak sangka betul-betul dia dah siap packing sekali."

Tuk Pah mengangguk sambil tersenyum lebar. "Kan Mek dah cakap?" balasnya, dengan suara perlahan juga. Kemudian dengan nada yang biasa, "Lena dah siap tu nampaknya..."

Adila berdehem. "Kami minta izin balik dulu-lah, Cik Pah...takut nanti lambat sampai rumah pulak. Lagipun nak beri masa pada Helena sesuaikan diri dulu." Mereka bertiga bangun dari kerusi ,masing-masing dan menuju ke pintu.

Helena berganjak sedikit ke tepi, memberi ruang kepada Jazid dan Adila untuk turun ke tanah. Dia seperti hendak membantah apabila Jazid mencapai beg-beg pakaiannya, tapi kemudian dia menukar fikiran. Bagus jugak dia tolong angkatkan...berat sebenarnya beg tu. Tadi tu, aku kontrol gila-gila punya tak nak kasi nampak berat depan diorang.

"Dato', Datin...datanglah lagi ye?" Tuk Pah sekadar berbasa basi di hadapan Helena. Hakikatnya, dia kerapkali menerima berita daripada Jazid dan Adila, dalam seminggu, dua tiga kali mereka berbual di telefon. "Lena...belajar...dan kerja baik-baik ye?" Tiba-tiba hatinya dipagut rasa sayu. Pertama kali dia akan dipisahkan dari Helena sejak gadis itu berada di dalam jagaannya 14 tahun yang lalu.

Helena hanya mengangguk, tidak berkata apa-apa.

Selesai Jazid memasukkan beg-beg pakaian Helena ke dalam boot kereta, dia berjalan kembali ke arah mereka. Dihulur tangan kepada wanita tua itu. "Terima kasih banyak-banyak, Cik Pah..." Kata-katanya mengandungi seribu makna, namun pada pendengaran Helena, kata-kata Jazid menyakitkan hatinya.

Tuk Pah angguk. Dia bersalam dengan Adila pula. "Cik Pah jangan bimbang, kami akan jaga Helena sebaik-baiknya. Urusan pertukaran sekolah akan kami uruskan nanti..." tak sampai hati Adila hendak memandang wajah sayu Tuk Pah. Dia merapatkan bibir ke telinga Tuk Pah. "Mek...jangan risau, Dila anggap Lena macam anak Dila sendiri..."

Helena sedaya upaya menahan air matanya ketika tiba gilirannya bersalam dengan wanita yang telah membesarkannya sejak dia kecil lagi. Dia tidak boleh menunjukkan yang dia sedih hendak berpisah dengan Tuk Pah, walaupun itu sebenarnya yang dia rasakan. Tak boleh, tak boleh...biar Tuk Pah tau yang aku pun tak kisah nak tinggalkan dia, sepertimana dia tak kisah nak lepaskan aku pergi jauh....

Tuk Pah tersandar pada daun pintu sebaik sahaja kereta BMW Jazid hilang dari pandangan mata, bersama-sama Helena. Ya Allah...kuatkan lah hati ku menghadapi perpisahan sementara ini.... dia memejam mata. Terasa sebahagian daripada dirinya hilang dengan pemergian Helena.

Terasa seperti baru sahaja Helena yang berusia setahun lebih diserahkan di bawah jagaannya berbelas tahun yang lalu. Seperti baru sahaja anak itu mula petah berkata-kata. Seperti baru semalam dia mendukung Helena ke kebun. Namun Helena bukan lagi anak kecil, umur gadis itu sudah pun mencecah 15 tahun. Sudah tiba masa hak penjagaan gadis itu bertukar. Itu yang tertulis dalam perjanjian mereka 14 tahun yang lalu. Itu yang tertulis dalam wasiat....

Sharifah terkedu apabila mendengar peguam di hadapan mereka membacakan bait-bait ayat di dalam surat wasiat yang dipegangnya. "Saya? Hak penjagaan Lena akan diserahkan pada saya? Razif, cuba ulang balik ayat tadi?"

Razif, peguam yang bertanggungjawab menyampaikan hasrat terakhir seorang teman akur. " 'Dengan ini, hak penjagaan anak perempuan kami, Helena akan diserahkan pada Mek Pah, atau Sharifah Dura Syed Alwi, dan di bawah jagaan beliaulah hak itu akan diletakkan sehingga anak itu mencapai usia 15 tahun.' "

"Mek, he made a wise choice," Jazid memegang lengan Sharifah yang masih kelihatan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. "Kalau ada orang yang boleh besarkan anak perempuan dia dengan baik, Mek-lah orangnya." Adila di sisi suaminya mengangguk-angguk, mengiakan kata-kata Jazid.

Air mata Tuk Pah mengalir laju. Hak penjagaan yang diserahkan kepadanya bertahun-tahun dahulu...benar-benar memberi makna. Dia kehilangan ketiga-tiga anaknya ketika mereka semua kecil lagi dan dia tidak dapat melahirkan anak lagi selepas itu. Sememangnya dia merindukan kehadiran anak kecil dalam hidupnya. Kehadiran Helena bagaikan cahaya yang menyinari satu ruang dalam hidupnya yang selama ini diselubungi kegelapan.

Shukor....hati Tuk Pah berkata-kata sendirian. Helena membesar menjadi gadis yang baik... Kau dan Mel pasti berbangga kalau kalian masih hidup...

1 comments:

Jaz said...

mysterious of helene parent ...