Saturday, December 12, 2009

12

“Kenapa kau malukan dia depan kawan-kawan dia?” Daniel mencampakkan beg ke atas katil.

“Malukan siapa? Oh, budak kampung tu?” balas Zul dengan nada mengejek. “Mana ada aku malukan dia. Aku cakap betul apa. Berangan tak ingat dunia, tak nampak orang lain.”

Daniel mendengus. Di sekolah tadi dia mendiamkan diri sahaja mendengar Zul mengherdik Helena. Merah padam wajah gadis itu menahan malu. Mana tidaknya, suara Zul yang kuat itu dapat didengari oleh rakan-rakan sekelasnya. Ramai yang menjenguk ke koridor melalui tingkap untuk melihat apa yang terjadi. Tidak kurang juga yang tersenyum sinis memerhatikan Helena dimalukan begitu.

Hendak membela Helena ketika itu, dia teringat janjinya dengan gadis itu.

“Apa-apa pun jadi, jangan sekali-kali tegur, jangan sekali-kali acknowledge saya. Kalau Zul buat jahat kat saya pun, jangan buat apa-apa. Saya tak mau kena associate dengan public figure macam awak.”

Lalu dia menahan rasa sepanjang berada di sekolah tadi. Mujur juga salah seorang teman Helena berani membuka mulut mempertahankan gadis itu. Mahu tergelak juga ada melihat wajah Zul yang terkejut apabila ada orang lain selain daripada Helena yang berani meninggikan suara kepadanya.

“Ei, apehal main jerit-jerit kat orang macam ni ni? Tak malu ke?”

Zul membeliakkan mata. Ada jugak yang melawan? “Apa hal masuk campur hal orang?”

“Yang ditengking-tengking tu kawan aku. Takkan aku nak berdiri buat bodoh je tengok dia kena macam tu,” Tengku Nadia membalas. “Dia bukan sengaja pun. Entah-entah kau yang sengaja langgar dia, kot...”

Zul mengetap gigi. Aku ingat budak kampung ni sorang je yang mulut cabul. Mulut budak ni pun sama laser aje. “Sayang sikit mulut tu ye? Sedar tak dengan siapa awak tengah bercakap ni?”

“Sedar,” kata Tengku Nadia, matanya tajam merenung Zul. “Dengan budak form five yang tak tahu adab sopan. Dah besar-besar pun tak reti-reti nak cakap elok-elok, tak reti-reti nak bagi peluang orang mintak maaf...”

Helena menyembunyikan senyumannya. Kena kau sekali. Mulut Tengku Nadia jangan dibawak main. Kalau tak disebabkan aku dah janji tak mau ada apa-apa kaitan dengan kau bila kat sekolah, mau aku fire jugak ni. “Dahlah tu, Nad. Jom masuk kelas...” dia menarik tangan Tengku Nadia yang masih tidak kelihatan puas hati. Sebelum dia melangkah masuk, Helena sempat menoleh sekilas ke arah Zul. “Sorry.”

“By the way, siapa budak yang mulut cabul dengan aku tadi? Bukannya dia kenal aku pun, sesuka hati dia je nak belasah fire aku,” Zul melonggarkan tali lehernya.

“Sebelum cakap pasal orang, baik kau teliti diri dulu,” Daniel membalas. T-shirt berwarna krim yang tersidai di kerusi belajarnya dicapai. “Kau pun, bukan sepatutnya kau tak kenal dengan Lena tu? Yang kau pergi tengking dia macam kau selalu buat dekat rumah tu kenapa? Budak-budak kat sekolah tak kenal kau yang macam tu.”

“Kenapa kau asyik backing budak kampung tu, Neil?”

“Budak kampung tu ada nama, Zul. Aku tak pernah dengar kau sebut nama budak tu sekali pun,” Daniel menanggalkan kemeja sekolahnya lalu menyarungkan T-shirt ke badan. “And...aku bukan nak backing siapa-siapa. I’m just trying to be fair. Kau tak nampak ke berapa banyak budak tu dah sabar dengan kau?”

Daniel ni kenapa?

“Aku tau maksud expression kau tu, Zul. Tapi yang ada masalah sekarang ni, kau, tahu? Bukan aku sorang je yang rasa pelik, adik kau tu lagilah. Lena ada buat apa dekat kau?”

Zul merengus lalu mencapai gitar kepunyaan Daniel yang terletak di tepi katil. Perlahan-lahan jarinya memetik tali gitar tanpa irama tertentu. Kenapa ye, aku hot sangat ngan budak tu sampai her mere presence pisses me off? Sebab masa first jumpa lagi dia dah bantai kaki aku dengan rice cooker? Ke sebab mama dengan ayah tak inform kami dulu masa nak ambik dia jadi pembantu rumah? Ke aku takut...

No! Zul menggeleng-gelengkan kepalanya. Tak mungkin aku boleh terpengaruh dengan benda macam tu. Daniel yang memerhatikan temannya sejak tadi mengeluh. Zul, Zul... dia mencapai buku latihan Add Math terbitan Pelangi. Teringat tugasan yang diberikan oleh En. Rosli di kelas sebentar tadi. Beberapa ketika selepas dia menumpukan perhatian kepada latihan di hadapannya, kedengaran suara Zul menyanyi dengan perlahan lagu Buat Aku Tersenyum dengan iringan gitar.

“Lena okey je kat sini, tuk. Tak ada sakit, tak ada apa...Dato’ dengan Datin pun jaga Lena elok-elok aje...okey tuk, lain kali Lena telefon lagi ye? Assalamualaikum,” Lena meletakkan gagang telefon. Tersenyum dia bila mengingatkan nada suara Tuk Pah yang begitu bangga dengan pencapaiannya di sekolah.

“Lena, buat apa tu?”

Helena menoleh, wajahnya ceria. “Makcik,” lidahnya sudah tidak kekok untuk membahasakan Adila dengan panggilan makcik, walaupun pada mulanya dia tersasul-sasul juga. “Lena baru telefon Tuk Pah. Dia sihat-sihat aje. Dia kirim salam kat semua.” Kemudian dia menyedari yang Adila mengenakan tudung di kepala. “Makcik nak keluar ke?”

Adila tersenyum. “Makcik nak ajak Lena keluar shopping, nak?”

Helena teragak-agak. Masuk kali sudah tiga kali Adila mengajaknya keluar membeli belah bersama-sama. Sebelum ini dia berjaya mengelakkan diri daripada mengikut wanita itu. Terasa tidak kena pula untuk dia keluar bersuka-ria bersama-sama majikannya. Tapi, nak menolak banyak kali pun, terasa tidak patut pula.

“Anggap ni hadiah daripada makcik sebab Lena dapat result bagus dalam trial, macam mana?”

Helena tersenyum akhirnya dan mengangguk. “Makcik tunggu sekejap ye, Lena pergi siap.”

“Makanlah, Lena, jangan malu-malu...” Adila meletakkan sekeping pizza ke dalam pinggan Helena. Helena menelan liur. Adui...selalu tengok dekat TV je orang makan pizza kat Pizza Hut. Nampak macam sedap...dia memandang Adila. Adila tersenyum dan mengangguk. “Makanlah,”wanita itu mengulang.

Helena mencapai kepingan pizza dari dalam pinggannya dan dibawa ke mulut. Secebis masuk ke dalam mulutnya. Wah... patutla iklan kat TV macam over-over sikit. Memang sedap gila! Ei, nanti sebelum balik kampung nak tapau sikitlah untuk Tuk Pah.

“Kalau Lena suka cicah dengan sos, tuanglah sos tu,” Adila mencelah. Seronok dia melihat kesungguhan Helena menikmati makanan di hadapannya. Ekspresi yang hanya dilihat ketika anak-anaknya masih kecil dahulu. Sekarang ni, pizza dah jadi macam makanan ruji dah. Taruklah selambak kat depan mata, tak dipandang pun.

“Makcik tak makan sama?” Helena merenung Adila yang sejak tadi tidak menjamah apa-apa.

“Lena makanlah, seronok makcik tengok Lena selera makan macam ni.”

“Makcik makan sekali lah. Segan Lena kalau Lena sorang je yang makan,” Helena meletakkan kepingan pizza yang tinggal separuh ke dalam pinggannya semula. Dah la dia belanja aku, dia pulak tak makan. Hei, tuan rumah aku sorang ni...

Adila terpaksa mengalah. Dia tahu tahap kedegilan Helena. Meskipun cara Helena menunjukkan kedegilannya tidak sekasar seseorang yang pernah dikenalinya dahulu, Adila pasti tahap kedegilan mereka serupa. Tangannya mencapai garlic bread, disua ke mulut dan dikunyah perlahan-lahan, menikmati rasa enak roti tersebut.

“Kau keluar dengan mak aku tadi?!” Zul menjegilkan mata. Helena berhenti mengelap meja makan tempat dia dan Cik Izah selalu menjamu selera. Aku dah agak dah mesti ada sebab kenapa dia rajin sangat bawak pinggan mangkuk masuk dapur dari dining hall. Nak sound aku rupanya. Hei, bukan aku yang nak, mak awak yang beria-ia mengajak. Awak ingat saya tak terfikir ke yang mungkin akan terjumpa dengan budak-budak sekolah dekat...dekat...apa nama tempat tu ek?

“Mak aku bawak keluar pergi mana?”

“Mid Valley.” Haa...ingat pun nama tempat tu.

Zul menepuk dahi. “Kau tak tau ke situ tempat hangout budak-budak school kita? Ke kau langsung tak belajar apa-apa pasal social life budak-budak bandar?”

“Tak berminat pun,” balas Helena pendek. Sakit hati dia mendengar kata-kata Zul. Bukannya dia tidak tahu, malah dia sendiri panik apabila Adila memberitahu arah tujuan mereka di dalam kereta tadi. Sehinggakan wanita itu hairan melihat dia tertoleh sana sini ketika berjalan.

“Kenapa tak tolak?”

“Tak boleh nak tolak.” Takkan dia nak beritahu Zul yang sudah acapkali Adila mengajaknya keluar bersama-sama. Dan tentunya dia tidak boleh memberitahu anak muda itu bahawa dia turut merasa seronok keluar bersama-sama Adila. Dia tidak membeli apa-apa, hanya window shopping sahaja sambil berbual-bual dengan wanita itu. Dan sebelum balik, Adila menghulurkan sebuah bungkusan kecil kepadanya.

“Apa ni, makcik?”

“Small gift, atas kejayaan Lena. Dari pakcik dan makcik.”

Helena tidak terkata apa-apa. Teringat kalau di kampung Tuk Pah akan menyediakan hidangan yang istimewa untuk mereka berdua sekiranya dia berjaya meraih keputusan yang cemerlang dalam pelajaran. Itu sebenarnya sudah mencukupi bagi dirinya.

“Cakap je la tak nak. Susah sangat ke? Kalau ada budak-budak sekolah nampak kau dengan mak aku macam mana? Tak ingat janji....”

“Tak habis-habis,” Helena cepat-cepat memotong. Pathetic betul mamat sorang ni. “Sibuk dengan janji dia. Bukan saya yang mungkir janji siang tadi. Awak jugak.” Dia membilas kain lap di sinki. Naik bosan dia dengan sikap Zul. “Lagipun, majikan yang ajak saya keluar, patut ke saya kalau nak membantah?”

Zul terkedu seketika mendengar balasan kata gadis itu. Entah apa yang mendorongnya untuk terus-terusan menyalahkan Helena. Dia sendiri tahu di sudut hatinya yang bukan Helena yang terhegeh-hegeh hendak menghabiskan masa bersama Adila di luar, sebaliknya Adila yang terlalu sayangkan gadis itu. Tapi takkan dia nak marahkan ibu sendiri pula? “Aku pun tak tau apa yang kau kasi kat mak aku sampai dia jadi suka sangat dekat kau,” itu yang keluar dari mulut Zul akhirnya.

Helena mencampakkan kain lap yang baru dibilas ke dalam sinki. Geram di hatinya membuak-buak. Puas sudah dia bersabar dengan tingkah laku Zul yang semakin hari semakin menyakitkan hati. Kata-katanya semakin lama semakin tajam dan menusuk hati. Rendah sangat ke maruah aku sampai nak kasi ubat guna-guna ke apa ke nak suruh majikan suka? Bukan aku yang mintak semua ni.

“Apa lagi yang awak nak hah? Tak puas hati lagi awak sakitkan hati saya setiap kali kita ‘bertegur sapa’?” Helena menghadapkan tubuhnya ke arah Zul, belakangnya disandarkan pada sinki. Matanya tajam merenung wajah pemuda itu.

Zul tidak berkata-kata buat seketika. Nada suara gadis itu telah berubah. Kulit muka Helena yang cerah itu juga sudah mula kemerahan. Marah ye?

Melihat Zul yang hanya mendiamkan diri, Helena menjadi semakin geram. Dah, malas aku nak layan orang gila macam ni. Pantas kakinya melangkah melintasi Zul yang berdiri berhampiran dengan pintu dapur yang bersambung dengan ruang makan.

“Nak pergi mana tu?”

“None of your business.”

“Macam tu menjawab dekat anak tuan rumah? Tak ada manners langsung. Ni, tak nampak ada pinggan kotor lagi atas meja ni? Siapa nak basuh?” Zul mengangkat kening. Helena berdiri membelakangi Zul, tidak mahu menoleh, bimbang air matanya akan tumpah di hadapan pemuda itu.

“Ada tangan kan? Basuh sendiri lah. Takkan dah besar-besar pun tak tau nak basuh pinggan macam mana? Ke nak suruh budak kampung jugak yang ajarkan? Jatuh standard lah macam tu...” sinis jawapan Helena. Kakinya mula melangkah semula.

Terbakar telinga Zul mendengar kata-kata budak perempuan di hadapannya itu. Tanpa berfikir panjang dia menyambar lengan Helena, menghalangnya dari terus melangkah pergi. “Cuba elok-elok sikit bila bercakap dengan orang yang lagi tua. Orang yang jaga kau kat kampung tu tak ajar....”

Satu tamparan hinggap di pipi Zul sebelum sempat dia menghabiskan ayat. Terperanjat sungguh dia sehingga dia menjadi kaku, tidak tahu apa reaksi yang sepatutnya ditunjukkan. Dipandang wajah Helena yang sudah basah dengan air mata. Kaget dia melihat Helena teresak kecil.

“Lepaskan.”

“Apa?” Zul bertanya bodoh.

“Lepaskan tangan aku la bodoh!” Helena menendang tulang keting pemuda itu sekuat hatinya sehingga terlepas pegangan Zul pada lengannya. “Sekali lagi kalau kau cuba hina Tuk Pah depan aku, aku memang tak akan maafkan kau sampai bila-bila pun!” Terus dia berjalan meninggalkan Zul yang sedang mengaduh kesakitan sambil memegang kakinya, dalam hatinya berharap dia tidak akan bertembung dengan sesiapa dalam keadaan begitu.

0 comments: