Saturday, December 12, 2009

10

Adila menghela nafas panjang. Lega. Terasa dadanya ringan sedikit. Kejadian siang tadi memang benar-benar dirasakan berupaya untuk memendekkan umurnya. Tak dapat dibayangkan bagaimana perasaannya apabila Wak pulang membawa khabar yang Helena tidak dapat dijumpai di mana-mana. Pantas dia menelefon Jazid, memintanya balik segera. Tidak luipa dia menyuruh suaminya itu berlegar-legar di beberapa kawasan, mana tahu terjumpa Helena di tengah jalan. Namun Jazid pulang dengan tangan kosong.

“Dila, sudah-sudahlah tu....Lena pun dah selamat kan?” suara Jazid dari dalam bilik menerjah telinganya. “Masuklah, sejuk kat luar tu....”

Adila melangkah masuk ke dalam bilik dari balkoni yang menghadap ke halaman rumah. Perlahan-lahan dia menarik tutup sliding door yang memisahkan antara bilik tidur dan balkoni. “Tak dapat nak kata bang, macam mana risaunya Dila sekejap tadi.... rasa nak gugur jantung.”

Jazid menoleh ke arah isterinya. Dia tidak menafikan dia juga merasa risau dengan ‘kehilangan’ Helena siang tadi, namun dalam diam dia lebih merisaukan keadaan Adila. Takut-takut isterinya itu tidak akan dapat menerima kenyataan sekiranya ada perkara yang tidak diingini berlaku nanti. “Abang risau jugak...tapi...ingat anak-anak Dila. Diorang tak tau apa-apa. Tak ke diorang hairan nanti tengok Dila macam ni?”

Adila tidak menjawab. Dia sedar kesilapannya. Terlanjur menunjukkan perasaannya. Dia menyedari reaksi wajah Zul dan Daniel ketika dia sampai di hadapan Sekolah Raja Muda. Lebih-lebih lagi ketika dia menarik Helena ke dalam pelukannya. Adila memandang ke arah lain. “Dila tak mampu nak face one more loss...that’s why....”

Helena memejamkan mata, cuba membuang bayangan peristiwa yang terjadi siang tadi jauh-jauh. Dia tahu selepas ini dia akan terkena tempias kebencian Zul yang pastinya semakin membara setelah apa yang berlaku.

Kenapa Datin peluk aku macam tu? Depan Zul dengan Daniel pulak tadi...Jangan kata diorang, aku pun terkejut beruk bila dia buat macam tu... muka Zul pulak lepas tu...seram aku tengok. Kalau pandangan dia boleh membunuh aku, aku rasa aku dah selamat seven feet under dah.

“Lena, jangan buat lagi macam hari ni...” erat pelukan Adila pada tubuh gadis itu, seolah-olah tidak mahu dilepaskan.

“Datin...saya....” Helena tidak dapat mencari suaranya. Ada perasaan halus menyelinap ke dalam jiwanya, sesuatu yang dia ingin rasakan sebelum ini, namun tiada berpeluang untuk berbuat begitu. Kerongkongnya seperti tersumbat tiba-tiba. “Minta maaf...saya memang tak tau...”

“Dah, dah...”Adila mengusap kepala anak gadis itu. Sepanjang jalan tadi hatinya tidak tenang, walaupun Zul sudahpun memaklumkan yang Helena berada dalam keadaan baik-baik sahaja. Bila matanya melihat sendiri keadaan gadis itu, barulah debaran di dadanya berkurangan. Tiba-tiba dia terasa bahunya basah. Ditolaknya badan Helena ke belakang sedikit supaya wajah gadis itu kelihatan.

Helena tunduk, tidak mahu mengangkat muka langsung. Puas ditahan, tapi air mata tetap merembes keluar. Mak... itu yang terlintas di kepalanya. Bukannya tidak cukup kasih sayang Tuk Pah terhadapnya... tapi...entahlah...dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menzahirkan perasaannya. Apa yang dia tahu, ketika Adila memeluknya, dia mula terasa rindu pada belaian kasih seorang ibu yang dia tidak pernah rasakan sebelum ini.

“Saya...saya okey...” ujarnya teresak-esak. Air mata dikesat dengan hujung lengan kemeja sekolah. Adila mengeluarkan tisu dari beg tangannya lalu dihulurkan kepada Helena. Hatinya meronta ingin mengesatkan air mata di pipi gadis itu, namun ditahan. Dia perasan renungan suaminya yang berupa peringatan supaya tidak terlalu mempamerkan perasaannya terhadap Helena.

Helena menutup wajahnya dengan bantal kecil. Dia sendiri tidak tahu mengapa Adila begitu mengambil berat tentang dirinya, lebih dari yang sepatutnya. Dia hanya pembantu rumah, kan? Tapi... sebentar tadi ketika Adila menemannya sehingga ke bilik, wanita itu menghadiahkan satu kucupan di dahinya, yang membuatkan dia kedu tanpa kata.

“Lena, rahsiakan apa yang makcik buat ni ye? Jangan kasitau sesiapa,” Adila berkata sambil tersenyum. Hilang sudah kata ganti nama ‘saya’ yang biasanya digunakan oleh Adila selama dia berada di sini.

“Datin...”

“Bila takde orang, Lena panggil makcik je lah. Kalau depan Zul dengan pakcik nak panggil ‘Datin’, makcik tak kisah...”

Ah, sudah...dia dah membahasakan Dato’ pakcik pulak....lepas ni dia nak suruh apa pulak? Panggil Zul abang? Tolonglah...

Helena mengerling jam loceng di tepi bantal. Nak dekat pukul 12 dah. Tapi mata masih tak mengantuk lagi, gara-gara terlalu banyak berfikir. Bila dia hendak menolong di dapur tadi, awal-awal lagi telah dihalau oleh Cik Izah. Tak boleh jadi macam ni...esok kena pergi sekolah... takkan nak buat lesu je masa second day kot...

Tubuh diiring menghadap ke kanan, seperti yang selalu dipesan oleh Tuk Pah kepadanya dahulu. Matanya ditutup dan fikirannya cuba dikosongkan. Tiba-tiba fikiran melayang kepada ibu dan bapa yang tidak pernah dikenalinya. Setakat yang dia tahu, keuda-dua ibu bapanya meninggal dunia ketika dia berumur setahun setengah. Sebab-sebabnya tidaklah pulak dia ketahui. Pekerjaan serta rupa mereka juga dia tidak tahu. Bukannya dia tidak pernah bertanya pada Tuk Pah, namun ada sahaja alasan wanita tua itu untuk tidak menjawab persoalannya.

Macamana agaknya ek...kalau mak dengan ayah aku hidup lagi? Pemikiran yang cuba ditinggalkan sekian lama kembali mengganggu fikirannya. Mak mesti baik macam Datin kot...lembut aje, selalu senyum...ayah pulak...

Akhirnya dia tertidur.

0 comments: