Friday, December 11, 2009

1

Semua orang tidak sayangkannya lagi!

Tuk Pah pun sama jugak....

Balik-balik sekolah petang tadi dia ternampak sebuah kereta BMW terparkir elok di hadapan rumah papan yang didiami oleh dia dan Tuk Pah.

Orang kaya mana pulak la yang datang rumah kami ni?hatinya bertanya sendiri. Masuk ke dalam rumah, Tuk Pah sedang duduk selesa di atas kerusi rotan kegemarannya, manakala setentang dengannya, sepasang suami isteri berpakaian kemas sedang menghirup air teh o panas yang dihidangkan.

Mata mereka bertiga tertumpu kepadanya sebaik sahaja dia melangkah masuk. Malu juga dia dibuatnya, lebih-lebih lagi apabila wanita yang tidak dikenali merenungnya tanpa berkelip.

"Ini dia Helena?" dia bertanya kepada Tuk Pah.

Tuk Pah mengangguk, sekuntum senyuman di bibirnya.

Helena bergerak ke sisi Tuk Pah. "Tuk Pah, siapa diorang ni?" dia berbisik. Nak bertanya kuat-kuat nanti, dikatakan kurang sopan pula.

Tuk Pah memegang tangan Helena, namun matanya terarah kepada pasangan suami isteri di hadapannya. "Lena, Tuk Pah kenalkan, yang itu Dato' Jazid....dan isterinya, Datin Adila. Mereka dari Shah Alam."

Helena dapat mengesan kegelisahan pasangan itu ketika mereka diperkenalkan, namun dia tak pasti mengapa. Takkan segan dengan title Dato' dan Datin kut? ...apa agaknya tujuan mereka datang ke ceruk kampung ni? Nak berubat ke?

"Lena." Panggilan Tuk Pah mematikan seribu satu soalan yang bermain-main di benak fikirannya. Helena memandang orang tua di sisinya. " Tuk Pah ada hal sikit nak bincang dengan Dato' dan Datin, Lena masuk dalam dulu boleh?" lembut suara Tuk Pah meminta.

Helena mengetap bibir. Rasa ingin tahunya meronta-ronta. Bukanlah sesuatu yang normal apabila orang bandar datang ke kawasan pedalaman sebegini, lebih-lebih lagi orang yang mempunyai status seperti Jazid dan Adila. Melainkan mereka adalah wakil rakyat... tapi pilihanraya baru je lepas. Lagipun, ada ke wakil rakyat datang ke rumah orang kampung membawa isteri sahaja, tanpa orang-orang kanan yang berpakaian kemas?

"Tuk Pah janji Tuk Pah cerita kat Lena malam ni."

Barulah air muka gadis itu cerah. Sememangnya dia tidak suka ketinggalan di belakang. "Ok Tuk Pah. Lena masuk dulu ye, tuk, Dato', Datin..." dengan senyuman lebar dia meninggalkan ruang tamu, diekori oleh tiga pasang mata. Hilang sahaja kelibat Helena, Tuk Pah kembali memandang pasangan di hadapannya. Masing-masing tersenyum, penuh nostalgia. Kemudian Tuk Pah bersuara, dalam Bahasa Inggeris yang fasih, yang pasti akan membuatkan Helena terperanjat besar sekiranya gadis itu mendengarnya. Siapa sangka seorang nenek sepertinya dapat bertutur dengan sebegitu baik sekali? Namun riak wajah Jazid dan Adila tidak berubah.

"She's so like him, isn't she?" Tuk Pah tersenyum. "Bukan sekali ni je, so many times I feel like seeing him smiling in front of me, instead of her. The resemblance of attitude is uncanny."

***

"Lena...Lena tak faham...apa yang Tuk Pah cakap ni?"

Tuk Pah menarik nafas panjang. Seperti dalam jangkaannya, bukan senang untuk mengkhabarkan apa yang dibincangkan olehnya bersama Jzid dan Adila siang tadi.

"Mereka berdua nak ambil Lena jadi pembantu rumah."

Helena tersandar di kerusi rotan yang didudukinya. Betullah apa yang aku dengar tadi. Aku ingatkan aku salah dengar... "....dan Tuk Pah setuju?"

"Tuk kata tuk akan pertimbangkan dulu. Tuk akan tanya Lena dulu...."

"Kenapa tuk tak tolak je cadangan diorang? Tuk nak Lena tinggalkan tuk ke?"

"Ada eloknya cadangan mereka, Lena. Lagipun, tuk dah tua, tuk tak boleh nak jaga Lena macam dulu lagi. "

"Lena boleh jaga tuk!" Helena berdegil. Matanya mula berair. Mana mungkin dia akan tinggalkan Tuk Pah yang sejak kecil menjaganya.

"Sebab tu-lah tuk rasa elok Lena ikut mereka. Lena belajar lagi, tuk tak mau pelajaran Lena terganggu sebab tuk. Tuk boleh jaga diri sendiri Lena. Lagipun ramai orang kampung yang boleh tuk minta tolong kalau ada paa-apa nanti."

"Dah tu, kalau Lena jadi orang gaji, pelajaran Lena tak terganggu-lah?"

Tuk Pah mengeluh. Keras hati betul budak ni. "Lena, dengar kata tuk. Lena ingat tuk akan serahkan Lena bulat-bulat pada mereka tanpa syarat ke? Tuk kata kat mereka berdua, yang tuk hanya akan benarkan Lena pergi kalau makan minum pakai Lena, pengajian Lena ditanggung." Aku tak bohong, aku cuma tak memberitahu perkara sebenar je, bisik hati Tuk Pah.

"Diorang setuju?" Helena mengerutkan dahi. Pada pendengarannya, syarat itu agak melampau. Kalau dia-lah, tak mahu dia menggaji orang yang memberi syarat sebegitu rupa. Apabila Tuk Pah mengangguk, Helena memegang dahinya. "Tuk Pah...kita bukan kenal dengan diorang pun. Entah-entah diorang penculik antarabangsa ke...mana kita tau..." suaranya makin lemah.

"Mereka orang baik-baik Lena, percaya-lah cakap Tuk Pah. Lena pun...tak payah lagi risau pasal yuran periksa semua... mereka janji mereka akan tanggung semua. Pasal sekolah pun, Lena tak payah risau, mereka akan uruskan pertukaran sekolah Lena... Kalau Lena setuju, mereka sedia nak ambil Lena pagi esok. Mereka bermalam dekat-dekat sini jugak..."

"Tuk Pah betul-betul nak Lena pergi ye?" Helena merenung wanita tua di sisinya.

"Lena..."

"Tuk Pah dengan diorang rancang hidup Lena kat belakang Lena. Lena ni, beban pada Tuk Pah ke sampai tuk beria suruh lena terima rancangan diorang?"

"Sayang... dengar kata tuk..."

"Tuk memang tak sayang Lena lagi agaknya..." air mata merembes keluar dari kelopak matanya. Terus dia meluru ke dalam bilik, meninggalkan Tuk Pah berseorangan.

Tuk Pah menggeleng-gelengkan kepala. Tuk buat ni semua sebab tuk sayangkan Lena, bukan sebab tuk benci Lena, dia bermonolog sendirian. Ni semua untuk memastikan Lena selamat, bukan saja-saja tuk nak suruh Lena ikut Jazid dan Adila. Dia kemudiannya tersenyum. Tangannya mencapai gagang telefon antik di sisi kerusi. Jari jemari Tuk Pah mendail nombor seseorang.

"Assalamualaikum...Dila? Jazid ada situ?" Tuk Pah terangguk-angguk mendengar balasan di hujung talian.

"Zid,ni Mek nak khabar sikit pasal Lena. Dia dah merajuk dah...baru kejap tadi masuk bilik."Kemudian dia tergelak mendengar kata-kata Jazid.

"Mek pun rasa macam tu jugak. Kalau betul mereka berdua serupa, Mek rasa esok pagi dia dah sedia kat depan pintu dengan beg baju. Datanglah esok... okey, assalamualaikum..."

Gagang diletak.

1 comments:

Jaz said...


wowww ... so nice to know tat Tu Pah 'can speaking English' .... cheeky Tuk Pah !!!